Profesion keguruan perlu diberi pengiktirafan dan dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi
Profesion keguruan perlu diberi pengiktirafan dan dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi bagi menjadikannya kerjaya rebutan setanding bidang profesional kritikal seperti doktor.
Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Hussein Ahmad, berkata usaha itu perlu bagi memastikan profesion itu mampu menarik penyertaan lebih ramai lulusan cemerlang.
Beliau berkata, antara langkah ialah menawarkan gaji lebih tinggi setimpal beban tugas, selain menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran mencukupi serta berkesan dengansuasana kerjaya terbaik.
“Pengiktirafan ini penting kerana tugas mendidik anak bangsa berat, selain menggalakkan individu cemerlang menjadi guru dan melahirkan lebih banyak idea hebat dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.
Pembelajaran interaktif
“Ini juga akan membantu usaha kerajaan yang meletakkan pencapaian 7A sebagai syarat kelayakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya selepas Forum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025: Bagaimana Merealisasikannya?’ di Fakulti Pendidikan UM, di sini semalam.
Forum turut disertai dua panel lain, iaitu Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; serta Profesor (Kurikulum) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel. Ia dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran UM, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Bakar Nordin.
Nagendralingan berkata, setiap guru sekolah rendah dan menengah perlu lebih bijak mewujudkan suasana pembelajaran interaktif serta aktif dan bukan pasif ketika mengajar.
“Guru harus berfikir dan mengeluarkan pendapat secara terbuka dalam mencari teknik pengajaran lebih menyeronokkan serta menarik minat dan keyakinan pelajar, selagi ia tidak menimbulkan masalah,” katanya.
Petikan sumber - Berita Harian
No comments:
Post a Comment